Sejak dahulu, kerajaan berusaha untuk membanteras gejala rasuah. Tangkapan kerap dibuat tanpa memandang kedudukan dan ada antara pihak yang terlibat itu telah dihadapkan ke muka pengadilan. Langkah ini merupakan satu langkah yang wajar diteruskan kerana rasuah merupakan suatu gejala yang boleh merosakkan masyarakat dan negara, Rasuah pada umumnya melibatkan pemberian sesuatu ganjaran atau suapan sama ada berupa wang, harta, perkhidmatan, anugerah, dalal atau lain-lain dengan pemberinya mengharapkan balasan daripada pemberian tersebut.
Rasuah perlu dibanteras kerana rasuah merupakan suatu jenayah mengikut Akta Pencengahan Rasuah 1997. Rasuah dianggap jenayah kerana perbuatan ini bukan sahaja melanggar etika sesuatu bidang pekerjaan, malah secara tidak langsung pelakunya telah mencuri hak orang lain. Tegasnya, perbuatan menerima dan memberikan rasuah menyalahi undang-undang negara. Orang yang melakukan rasuah sebenarnya telah menggunakan kuasa yang telah diamanahkan kepadanya demi kepentingan diri sendiri. Sebagai contoh, jika seseorang itu telah dipertanggungjawabkan untuk memilih kontraktor yang berkeupayaan untuk melaksanakan sesuatu projek tetapi dia memilih kontraktor yang tidak berkebolehan disebabkan dia diberikan sesuatu ganjaran oleh kontraktor tersebut maka dia sebenarnya telah menafikan hak kontraktor yang layak. Hal ini merupakan seuatu penganayiaan.
Gejala rasuah juga perlu dibanteras kerana rasuah yang berleluasa boleh melunturkan kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan kerajaan, terutamanya jika individu yang terlibat itu ialah kakitangan kerjaan. Rakyat akan berasa diperbodoh jika setiap sesuatu yang dipohon perlu disertai dengan habuan untuk pihak yang mempunyai kuasa dalam memberikan kelulusan. Wang yang diperuntukkan bagi sesuatu golongan rakyat pulak tidak akan sampai ke tangan mereka yang berhak sebaliknya akan masuk ke dalam saku mereka yang tamak. Keadaan ini akan mengundang bahaya kerana rakyat yang berasa ditindas akan memberontak untuk menuntut hak mereka. Sejarah telah membuktikan bahawa banyak kerajaan tumbang kerana gejala rasuah yang tidak terkawal. Atas sebab itulah kerajaan kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membanteras gegala ini.
Gejala rasuah juga boleh menyebabkan urusan pembangunan negara tergendala. Sebahagian besar daripada peruntukan kerajaan bagi pelaksanaan sesuatu projek akan diselewengkan oleh mereka yang gila wang. Hal ini akan menyebabkan golongan yang berkuasa hidup mewah manakala golongan miskin tertindas. Projek yang seharusnya dapat disiapkan dengan peruntukan yang munasabah akhirnya terbengkalai. Pembangunan pada umumnya tidak dapat berjalan dengan lancar dan jika ini terjadi hasrat kerjaan kita untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 tidak akan tercapai. Imej negara juga akan terjejas dan masalah ini menakutkan pelabur asing. Hal ini tentunya bercanggah dengan hasrat kita untuk menarik pelabur luar.
Dimana-mana negara sekalipun, gejala rasuah sebenarnya amat sukar untuk diatasi kerana gejala ini melibatkan sikap manusia yang sukar diubah. Walau bagaimanapun, pelaksanaan undang-undang dengan lebih ketat dan berkesan merupakan salah satu daripada langkah yang paling berkesan. Undang-undang yang ada iaitu penjara dan denda mungkin tidak cukup berat untuk sesuatu perbuatan rasuah yang melibatkan jumlah wang yang besar. Maka, hukuman penjara mandatori dengan tempoh yang lebih lama, ditambah dengan sebatan difikirkan wajar dilaksanakan. Undang-undang yang digubal mestilah dikuatkuasakan dengan tegas tanpa mengira darjat. Selain itu, takrif rasuah juga perlu dihalusi supaya tidak ada pihak yang bolos daripada tindakan hanya disebabkan wujudnya kelemahan dalam undang-undang.
Untuk jangka panjang, kesedaran terhadap kejinya perbuatan rasuah mesti dipupuk dalam kalangan masyarakat. Masyarakat harus disuburkan dengan sikap jujur dan amanah dalam menjalankan tugas kerana amalan ini merupakan amalan murni yang penting untuk mengekalkan hubungan kemanusiaan yang baik. Dalam konteks ini, pendidikan seharusnya memainkan peranan penting terutamanya pendidikan agama.
Langkah kerajaan dalam membendung gejala rasuah wajar disokong oleh semua pihak. Tanpa rasuah, usaha pembangunan negara dapat berjalan lancar. Imej negara juga akan bersih dan maruah kita sebagai warganegaranya akan meningkat. Keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat juga akan dapat dipertahankan dan semua rakyat tanpa mengira golongan dapat hidup dengan aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan