Ahad, 13 Oktober 2019

KARANGAN : kepentingan usaha membanteras rasuah dan langkah mengatasi rasuah.

Jelaskan kepentingan usaha membanteras rasuah dan nyatakan langkah mengatasi rasuah

         Sejak dahulu, kerajaan berusaha untuk membanteras gejala rasuah. Tangkapan kerap dibuat tanpa memandang kedudukan dan ada antara pihak yang terlibat itu telah dihadapkan ke muka pengadilan. Langkah ini merupakan satu langkah yang wajar diteruskan kerana rasuah merupakan suatu gejala yang boleh merosakkan masyarakat dan negara, Rasuah pada umumnya melibatkan pemberian sesuatu ganjaran atau suapan sama ada berupa wang, harta, perkhidmatan, anugerah, dalal atau lain-lain dengan pemberinya mengharapkan balasan daripada pemberian tersebut. 

          Rasuah perlu dibanteras kerana rasuah merupakan suatu jenayah mengikut Akta Pencengahan Rasuah 1997. Rasuah dianggap jenayah kerana perbuatan ini bukan sahaja melanggar etika sesuatu bidang pekerjaan, malah secara tidak langsung pelakunya telah mencuri hak orang lain. Tegasnya, perbuatan menerima dan memberikan rasuah menyalahi undang-undang negara. Orang yang melakukan rasuah sebenarnya telah menggunakan kuasa yang telah diamanahkan kepadanya demi kepentingan diri sendiri. Sebagai contoh, jika seseorang itu telah dipertanggungjawabkan untuk memilih kontraktor yang berkeupayaan untuk melaksanakan sesuatu projek tetapi dia memilih kontraktor yang tidak berkebolehan disebabkan dia diberikan sesuatu ganjaran oleh kontraktor tersebut maka dia sebenarnya telah menafikan hak kontraktor yang layak. Hal ini merupakan seuatu penganayiaan. 

        Gejala rasuah juga perlu dibanteras kerana rasuah yang berleluasa boleh melunturkan kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan kerajaan, terutamanya jika individu yang terlibat itu ialah kakitangan kerjaan. Rakyat akan berasa diperbodoh jika setiap sesuatu yang dipohon perlu disertai dengan habuan untuk pihak yang mempunyai kuasa dalam memberikan kelulusan. Wang yang diperuntukkan bagi sesuatu golongan rakyat pulak tidak akan sampai ke tangan mereka yang berhak sebaliknya akan masuk ke dalam saku mereka yang tamak. Keadaan ini akan mengundang bahaya kerana rakyat yang berasa ditindas akan memberontak untuk menuntut hak mereka. Sejarah telah membuktikan bahawa banyak kerajaan tumbang kerana gejala rasuah yang tidak terkawal. Atas sebab itulah kerajaan kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membanteras gegala ini. 

          Gejala rasuah juga boleh menyebabkan urusan pembangunan negara tergendala. Sebahagian besar daripada peruntukan kerajaan bagi pelaksanaan sesuatu projek akan diselewengkan oleh mereka yang gila wang. Hal ini akan menyebabkan golongan yang berkuasa hidup mewah manakala golongan miskin tertindas. Projek yang seharusnya dapat disiapkan dengan peruntukan yang munasabah akhirnya terbengkalai. Pembangunan pada umumnya tidak dapat berjalan dengan lancar dan jika ini terjadi hasrat kerjaan kita untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 tidak akan tercapai. Imej negara juga akan terjejas dan masalah ini menakutkan pelabur asing. Hal ini tentunya bercanggah dengan hasrat kita untuk menarik pelabur luar. 

         Dimana-mana negara sekalipun, gejala rasuah sebenarnya amat sukar untuk diatasi kerana gejala ini melibatkan sikap manusia yang sukar diubah. Walau bagaimanapun, pelaksanaan undang-undang dengan lebih ketat dan berkesan merupakan salah satu daripada langkah yang paling berkesan. Undang-undang yang ada iaitu penjara dan denda mungkin tidak cukup berat untuk sesuatu perbuatan rasuah yang melibatkan jumlah wang yang besar. Maka, hukuman penjara mandatori dengan tempoh yang lebih lama, ditambah dengan sebatan difikirkan wajar dilaksanakan. Undang-undang yang digubal mestilah dikuatkuasakan dengan tegas tanpa mengira darjat. Selain itu, takrif rasuah juga perlu dihalusi supaya tidak ada pihak yang bolos daripada tindakan hanya disebabkan wujudnya kelemahan dalam undang-undang. 

        Untuk jangka panjang, kesedaran terhadap kejinya perbuatan rasuah mesti dipupuk dalam kalangan masyarakat. Masyarakat harus disuburkan dengan sikap jujur dan amanah dalam menjalankan tugas kerana amalan ini merupakan amalan murni yang penting untuk mengekalkan hubungan kemanusiaan yang baik. Dalam konteks ini, pendidikan seharusnya memainkan peranan penting terutamanya pendidikan agama. 

        Langkah kerajaan dalam membendung gejala rasuah wajar disokong oleh semua pihak. Tanpa rasuah, usaha pembangunan negara dapat berjalan lancar. Imej negara juga akan bersih dan maruah kita sebagai warganegaranya akan meningkat. Keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat juga akan dapat dipertahankan dan semua rakyat tanpa mengira golongan dapat hidup dengan aman. 

SYARAHAN : KEBAIKAN DAN KEBURUKAN KESAN PELAKSANAAN GLOBALISASI PERDAGANGAN

Sediakan syarahan tentang kesan pelaksanan globalisasi perdagangan. 

            Selamat sejahtera saya ucapkan kepada guru-guru dan pelajar Tingkatan 6 yang hadir pada pagi ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli jawatankuasa Persatuan Ekonomi sekolah ini kerana telah menjemput saya untuk memberikan syarahan pada hari ini. Mudah-mudahan syarahan saya nanti dapat memberikan manfaat kepada anda sekalian. 

Guru dan pelajar sekalian, 

                 Kini kita sering mendengar istilah globalisasi perdagangan. Persoalan tentangnya harus kita halusi sebelum kita menyatakan sokongan atau bantahan terhadap pelaksanaanya. Sebenarnya, globalisasi perdagangan merupakan satu konsep yang merujuk bentuk perdagangan terbuka antara negara. Dalam pelaksanaan perdagangan global, tiada sekatan dikenakan sama ada sekatan tarif, iaitu sekatan berbentuk cukai, mahupun bukan cukai seperti kuota, piawaian dan sebagainya. Hal ini bermakna barangan keluaran sesebuah negara dapat menembusi pasaran negara lain dengan bebas. 

Guru dan pelajar yang dihormati, 

              Konsep perdagangam bebas memang ada kebaikan dan keburukannya. Kebaikannya ada;ah pasaran barangan sesebuah negara akan bertambah luas. Hal ini bermakna, pengeluar bukan sahaja dapat memasarkan barangan yang dikeluarkannya kepada pengguna tempatan tetapi juga pengguna pada peringkat antarabangsa. Sesebuah syarikat besar yang memiliki teknologi canggih dan telah mapan kedudukannya akan beroleh faedah yang besar. Syarikat seperti ini akan dapat mengurangkan kos kerana pengeluaran barangan dapat dilakukan pada skala besar disebabkan pasaran barangan tersebut bertambah luas. Harga yang ditawarkan juga akan lebih kompetitif dan syarikat akan beroleh keuntungan yang lebih tinggi. 

                           Kebaikan seterusnya adalah kita sebagai pengguna. Kita akan mempunyai pilihan yang banyak bagi sesuatu barangan. Pelbagai jenama, baik yang dikeluarkan oleh pengusaha tempatan atau luar negara akan ditawarkan di pasaran dan pada waktu itu kita sebagai pengguna boleh menjadi penentu harga sesuatu barangan. Kita boleh memilih barangan yang benar-benar berkualiti pada harga yang munasabah. Harga barangan import yang selama ini dikatakan tinggi kerana dikenakan cukai import tidak akan timbul lagi pada waktu itu kerana perdagangan antarabangsa telah berjalan bebas. Jadi, untuk bersaing pada peringkat yang lebih global, pengeluar terpaksa menurunkan harga tetapi masih mengekalkan mutu keluaran utnuk menarik minat pengguna. 

Guru dan pelajar sekalian, 

                 Disebalik kebaikan, wujud juga keburukan kesan pelaksanaan konsep tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana disebabkan persaingan yang amat sengit akan wujud dalam kalangan pengeluar. Jika pengeluar sesuatu produk di sesebuah negara itu masih tidak dapat mengeluarkan barangan pada kos yang lebih efisien kerana terikat dengan teknologi rendah dan ketidakkemampuan menghasilkan barangan mengikut selera pengguna maka barangan yang dipasarkan tidak akan mampu bersaing di peringkat global. Hal ini akan menimbulkan kerugian dan jika keadaan tidak dapat dibaiki, banyak syarikat akan gulung tikar. Kegagalan sedemikian seterusnya akan menyebabkan pengangguran dan ini bermakna negara yang masih mundur akan berhadapan dengan masalah. 

               Satu lagi keburukannya adalah negara maju yang mempunyai teknologi tinggi akan mempunyai kuasa monopoli dalam sektor ekonomi. Dengan teknologi yang dimiliki oleh mereka, barangan yang dikeluarkan oleh mereka lebih canggih, lebih berupaya, untuk menarik perhatian pengguna dan lebih murah. Hal ini akan membatasi barangan antarabangsa yang dihasilkan oleh negara yang sedang membangun. Barangan yang dihasilkan oleh mereka akan menguasai pasaran dunia dan ini juga bererti akan wujud penjajahan baharu yang bersifat global tetapi kewujudannya tidak disedari dengan jelas. 

              Disebabkan masa tidak menginzinkan saya untuk meneruskan syarahan ini, saya terpaksa berhenti di sini dan berharap agar pelajar sekalian dapat memahami konsep ini dengan jelas dan dapat menilai keburukan dan kebaikannya. Sekian, terima kasih. 


Review Hayda Scarf

Hayda Scarf.... Dalam entry kalini sis nak bagitahu kat korang. Hayda Scarf ni memang superbbb best sangat 😍 Sis fall in love, mudah g...